:: artikel ICT >> teknologi terkini

HIBRID CARA BARU MENGEJA TABLET
Populariti tablet memaksa lebih banyak gen tablet dihasilkan & kini pengeluar ingin pengguna merasakan gaya hibrid

 

Komputer hibrid, laptop hibrid dan kini tablet hibrid. Nampaknya versi-versi Hibrid ini sudah menjadi semakin popular. Tidak cukup dengan satu peranti dengan pelbagai fungsi, kini ia digabungkan untuk membentuk peranti yang lain pula, berevolusi, bertukar gaya, berkacuk! Beberapa pengeluar sudah muncul dengan tablet hibrid mereka, tablet yang digabungkan dengan komputer riba, menjadi sebuah peranti lengkap, seperti peti ais yang digabungkan dengan microwave (sekadar metafora). Sebenarnya dengan lambakan tablet di pasaran, bentuk baru bagi sesebuah produk boleh memacu penjualan yang lebih meluas lagi, dan dalam kes ini tablet telah direka dengan gaya hibrid untuk terus mendapatkan momentum.

Microsoft telah memulakan langkah dan strategi di mana nanti kita dapat lihat Windows pada beberapa peranti termasuk laptop, tablet dan juga telefon. Windows 8 dan Windows Phone 8 dilaporkan banyak berkongsi asas kod yang sama.Ia memberi titik jualan yang lebih baik kepada pengguna dan bisnes yang ingin mengakses aplikasi yang sama di rumah, pejabat atau sedang dalam perjalanan. Ini juga memungkinkan percantuman produk Windows, dan hibrid adalah kata yang tepat untuk menggambarkan keadaan ini nanti.

Windows Hibrid boleh jadi terlalu besar untuk menjadi tablet atau berkuasa rendah untuk menjadi laptop. Namun ini tidak bermakna ia akan kekal begitu. Khabarnya Microsoft sedang bekerjasama dengan beberapa vendor untuk kolaborasi peranti, atau mereka juga mungkin tampil dengan produk mereka sendiri. Dengan Apple awal-awal lagi menarik diri dengan menyatakan pendirian tidak akan menghasilkan produk, Windows mempunyai peluang lebih besar.

Jika tablet Hibrid Windows 8 muncul, hendak atau tidak, Apple pasti akan respons. Tablet hibrid bukanlah suatu idea baru dan telah diperkenalkan beberapa tahun lalu. Namun akhir ini, usaha perlu dilakukan untuk meluaskan segmen tablet setelah lebih banyak peranti ini di pasaran. Asasnya tablet hibrid adalah dua peranti yang digabungkan dan bentuk yang lebih banyak kita lihat adalah tablet yang digabungkan bersama laptop.

Namun Asus telah memperkenalkan tablet hibrid yang mencantumkan tablet dan telefon pintar. Ia mendapat sambutan yang hangat, lebih-lebih lagi pada waktu itu kurang persaingan dalam bentuk sepertinya. Asus PadFone adalah gabungan tablet Asus 10.1 inci bersama PadFone 4.3 inci.Lenovo juga telah tampilkan beberapa siri tablet hibrid. Mereka selesa dengan gabungan komputer riba dan tablet dalam faktor bentuk unik. Antaranya ialah Lenovo IdeaPad UI, yang menggabungkan skrin tablet yang apabila ditanggalkan boleh menjalankan fungsi tablet penuh. Apabila dipasang ia membentuk laptop dengan kekunci.Tahun ini juga lebih banyak tablet hibrid muncul di pasaran dan mengambil peluang dengan kehadiran Windows 8, tablet hibrid sedang menginjak momentum semaksimumnya. Jun lalu, MSI memperkenalkan MSI Slider S20 Hybrid Tablet dengan Windows 8. Tablet yang bersaiz nipis ini sungguh kemas dengan skrin sentuk 11.6 inci. Kami pernah melihat beberapa tablet hibrid sebelum ini, dan ini memang mengancam. Ia turut dilengkapi cip Ivy Bridge, RAM 4GB, Bluetooth 4.0, HDMI dan USB 3.0. Samsung pula tampil dengan siri prototaip Tablet Hibrid 5 inci pada Computex Taipei. Ia didatangkan dalam bentuk 11 inci dengan reka bentuk kaca menarik. Tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai tablet ini, kerana sewaktu artikel dibuat, ia masih dalam bentuk protaip.

Juga menjadi bualan hangat adalah Asus Taichi, komputer riba dan tablet dengan paparan 11.6 inci dan 13.3 inci. Ya, dua paparan di hadapan dan di belakang Taichi dikuasakan pemproses Intel Ivy Bridge Core i7, 4GB RAM, storan SSD, Wifi 802.11n Dual Band, FHD/Super IPS dan dua kamera. Memang menarik mengetahui tablet senipis Taichi dilengkapi pelbagai fungsi besar. Malah ada yang menyatakan Taichi adalah gabungan Ultrabook dan tablet nipis yang berkuasa. Jika kita mendengar beberapa siri tablet hibrid dalam platform Intel, AMD juga tidak mahu ketinggalan dengan memperkenalkan prototaip tablet hibrid AMD Trinity. Syarikat itu mempamerkan tablet hibrid dengan Windows 8 daripada Compal di Computex Taipei baru-baru ini, reka bentuk tablet berpapan kekunci boleh pasang dan tanggal. Tablet prototaip ini dikatakan menjalankan APU 17W AMD Trinity dan kenipisan kurang 20mm.

Juga masih dengan Windows 8, pesaing AMD, Intel memperkenalkan Intel Cove Point iaitu Ultrabook yang juga bertindak sebagai Windows Tablet. Ia juga dikenali sebagai Letexo oleh beberapa wartawan dengan paparan skrin sentuh 12.5 inci, OS Android, menggunakan cip Ivy Bridge, mempunyai port HDMI dan USB 3.0. Dengan ciri ultrabook dan tablet pada satu peranti, Intel Cove point ini boleh sebagai mesin pengkomputeran berkuasa. Oleh itu ada apa sebenarnya dengan tablet hibrid? Ia tidak cukup dijelaskan sebagai satu faktor bentuk unik, namun pengguna perlu melihat kuasa di sebalik percantuman ini. Fungsi komputer riba dan ultrabook yang digabungkan bersama kemudahan tablet memberikan pengguna lebih daripada satu peranti berkuasa. Jika boleh diletakkan kuasa x2.

Kelebihan-kelebihan yang boleh didapati pada komputer riba tidak menjadi penghalang untuk pengguna mendapatkan peranti tablet bersama. Bercakap mengenai ciri mudahalih pula, ia satu bentuk yang menggambarkan ia sebaiknya. Bekerja dengan laptop dan kemudian beralih kepada tablet jika ingin bergerak. Semudah menanggalkan skrinnya.

Apabila berlaku percantuman ini, sudahh pasti sistem operasi, aplikasi dan sokongan perisian yang digunakan adalah serupa. Pengguna boleh beralih kerja mengikut peranti yang diinginkan pada waktu yang sesuai. Jika Tablet Hibrid dianggap usaha perluasan momentum tablet, ia satu usaha yang berjaya. Tidak lama lagi orang ramai mengenali Hibrid cara baru mengeja tablet.


Sumber: Majalah PC Ogos 2012
   
     

     
Lebih Kapasiti, Lebih Kelajuan Untuk Sistem Storan USB
:: Storan USB kini bukan sekadar menyimpan data.
     


 
Ya, storan USB kini bukan sekadar menyimpan data. Ini kerana kapasiti yang besar dan kelajuan yang dipertingkat membolehkan ia menjalankan lebih daripada fungsi menyimpan, memindah, membaca dan menulis data. Terdapat jenama-jenama storan USB di pasaran masa kini yang sudah mula memperkenalkan tawaran lain untuk disertakan bersama penyelesaian storan USB seperti permainan, perisian dan banyak lagi.

Asasnya, storan-storan USB ini dibina mengikut Kelas Peranti Storan Besar USB (USB MSC) iaitu set protokol komunikasi pengkomputeran yang direka oleh USB Implementer Forum iaitu gabungan syarikat-syarikat IT seperti Apple, Intel, Hewlett Packard dan banyak lagi yang membina Universal Serial Bus (USB). Standard inilah yang menyediakan teknologi antaramuka untuk pelbagai peranti storan yang boleh anda lihat sekarang.

‘Naik dan turun’ storan USB menggambarkan bahawa pengguna sedang bergerak seiring dengan teknologi yang diperkenalkan kepada mereka. Walaupun bukan semua individu mengambil berat tentang teknologi, atau ‘minat’ dengan perkara-perkara berkaitan teknologi dan IT, namun perubahan masa memungkinkan aliran ini juga berubah.
     
Sebagai contoh boleh dikatakan secara rambang, hampir setiap isi rumah memiliki sebuah komputer, individu mempunyai satu atau dua pemacu flash dan organisasi sudah mula meneroka pendekatan IT terkini untuk meningkatkan produktiviti syarikat. Ia termasuk dari segi sistem storan dan kemudahan perhubungan peralatan yang berupaya menjimatkan kos dan mengoptimumkan hasil.

Menyebut kos, kita juga boleh melihat harga pemacu flash USB (salah satu sistem storan USB) kini boleh didapati pada harga puluhan ringgit sahaja (1GB – 2GB). Kapasiti yang lebih besar ditawarkan untuk pemacu yang satu ketika dulu hanya boleh dibeli dalam kapasiti 128MB atau 256MB. Namun, perubahan masa, teknologi dan keperluan, membolehkan ia turut sama berubah dan memberi peluang kepada pengguna menikmati teknologi pada harga yang mampu dimiliki.

Kemudian, muncul pula teknologi baru untuk memberi kelebihan kepada pengguna dan meningkatkan kecekapan sistem. Manusia mencabar diri untuk mencipta sesuatu yang dahulu dibayangkan, kemudian direalisasikan menjadi episod baru dalam kehidupan. Munculnya USB 3.0 tidak lama lagi pasti akan membuka satu langkah baru kepada cara kita menikmati teknologi, pendekatan kita melakukan kerja, keupayaan kita berkomunikasi dan kecekapan yang terhasil kepada sistem pengkomputeran kita, semuanya akan berkait sekali.

Teknologi yang dimajukan, membolehkan percambahan idea baru untuk penghasilan sistem storan USB yang lebih cekap dan pantas. Spesifikasi USB 3.0 pada kelajuan 4.8Mbit sesaat, cukup laju untuk kita melakukan pelbagai kerja pada peranti USB lazim. Oleh itu, dijangkakan tidak lama lagi, akan muncul pula produk-produk baru yang dilengkapi spesifikasi ini. Apabila kelajuan sudah dipertingkat, pastinya kapasiti juga akan meningkat paling tidak sekali ganda untuk storan USB.

Jika kini kita ditawarkan dengan storan USB flash pada kapasiti 16GB (paling besar), tidak mustahil satu hari nanti kita bakal melihat pemacu flash didatangkan dalam kapasiti 32GB, 64GB dan seterusnya bergantung kepada teknologi yang direka kerana rangka sokongan itu sudah ada. Tidak mustahil juga, pemacu keras luaran USB dikecilkan saiznya untuk memberi mobiliti dan kemudahan kepada pengguna. Tidak salah kita membayangkan semua ini dahulu kerana ia mungkin akan berlaku tidak lama lagi kerana idea-idea ini sebenarnya sudah lama difikirkan oleh peneraju industri.

Sumber : Majalah PC Januari 2008
 







Sabah
Aplikasi
JPKN
SSO
Keselamatan ICT
MoF
SGCERT
JPAN
JPAM
MAMPU
INSAN
Malaysia
 
 








 




 
Meja Bantuan
Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri
Tingkat 1 & 2, Blok A,
Wisma Kewangan, Beg Berkunci No. 2057
88999 KOTA KINABALU
 
Telefon: 088 219064
Faks: 088 215116
E-melhelpdesk.jpkn@sabah.gov.my

Majalah Online

NOTICE PENAFIAN


Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami
disebabkan penggunaan sebarang maklumat yang terdapat di dalam laman web ini.

Hakcipta Terpelihara © 2016 Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah
Paparan terbaik menggunakan resolusi 1024 x 768 piksel, pelayar Internet Explorer 8, Mozilla Firefox & Google Chrome

Kemaskini terakhir: 27 Disember 2016